MamaQaireen Shoppe

Search This Blog

Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts
Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts

Friday, October 31, 2014

5 Cara Tidak Boleh Memukul Anak Cara Islam

Anak adalah anugerah yang tidak ternilai harganya. Sebagai ibu dan bapa kita seharusnya bijak untuk mengajar anak kita ilmu di dunia dan akhirat. Kita yang mencorakkan kehidupan mereka, tetapi sebagai manusia biasa. Tentunya kadang2 kita akan diuji dengan cabaran menjaga anak2 kita. Nak buat macam mana kan? Anak2 yang bijak memang aktif dan duduk tak diam ;)



Bila anak2 bijak ni aktif, kita boleh menasihati mereka. Tetapi ingat, jangan melampaui batas untuk memarahi atau memukul mereka. Budak2 ni hatinya bersih, kalau dari kecil dah biasa dipukul atau diherdik. Tak mustahil dah besar nanti akan memberontak pula (nauzubillah). 

So hari ni saya akan share serba sedikit 5 Cara Tidak Boleh Menghukum Anak Cara Islam.

1. Memukul Pada Wajah 
Rasulullah S.A.W melarang memukul muka berdasarkan sabda Baginda yang bermaksud, “Jika salah seorang dari kamu memukul, maka hendaknya dia menjauhi (memukul) wajah.”

2. Kemarahan Melampau
Menampakkan kemarahan yang ketara Ini juga dilarang kerana bertentangan dengan amalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Bukanlah orang yang kuat itu diukur dengan kuatnya dia berlawan, tetapi orang yang kuat adalah yang mampu menahan dirinya ketika marah.” 

3. Memukul Di Dalam Keadaan Sangat Marah 
Dari Abu Mas’ud al-Badri, dia berkata, “(Suatu hari) aku memukul budakku (yang masih kecil) dengan cemeti, maka aku mendengar suara (teguran) dari belakangku, ‘Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud!’ Akan tetapi, aku tidak mengenali suara tersebut kerena kemarahan (yang sangat). 

Ketika pemilik suara itu mendekat dariku, maka ternyata dia adalah Rasulullah S.A.W dan Baginda berkata, ‘Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud! Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud!’ Maka aku pun melempar cemeti dari tanganku, kemudian beliau bersabda, ‘Ketahuilah, wahai Abu Mas’ud! Sesungguhnya Allah lebih mampu untuk (menyeksa) kamu daripada apa yang kami seksakan terhadap budak ini,’ maka aku pun berkata, ‘Aku tidak akan memukul budak selamanya setelah (hari) ini.” 

4. Bersikap Terlalu Keras & Kasar 
Sikap ini jelas bertentangan dengan sifat lemah lembut yang diajar oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Barangsiapa yang terhalang dari sifat lemah lembut, maka dia akan terhalang dari mendapat kebaikan.” 

5. Memukul dengan benda keras 
Sekiranya anda memukul anak anda dengan benda keras atau tajam sehingga berbekas. Ini juga dilarang oleh Rasulullah S.A.W. Sebaik-baiknya gunakan rotan yang tidak boleh mendatangkan kecederaan dan berbekas pada kulit. Menghukum dengan rotan dibolehkan dengan tujuan untuk memberikan peringatan kepada anak. 

Sumber: Detik Islam 


Pengedar Sah Shaklee Ipoh Perak : Dilla Jalil (Shaklee ID 852451)

017 – 5657552 (whatsapp /sms)

admin@mamaqaireen.com (e-mail)

mamaqaireen.com (blog shaklee)

COD : KFC Medan Gopeng



Friday, October 24, 2014

3 Tips Mudah Untuk Murah Rezeki

Ramai diantara kita mungkin pernah mengalami kesempitan wang atau yang menjalankan perniagaan tetapi tiada "sale" untuk tempoh beberapa hari. Pelbagai cara dah dibuat, tapi masih belum mendapat apa yang diingini. So hari ni saya nak share sedikit 3 Tips Mudah Untuk Murah Rezeki. Saya dapat dari blog AkuIslam dan saya share serba sedikit apa yang saya amalkan. Apa yang penting, kita kena sentiasa ingat bahawa Rezeki Kita, Allah Yang Pegang. Yakin dengan Rezeki dari Allah.


3 Tips Mudah Untuk Murah Rezeki

1. Bersedekah

Ramai yang tidak tahu bahawa amalan bersedekah mampu untuk membawa rezeki yang melimpah-ruah kepada si pemberi rezeki. Amalan yang digalakkan oleh Islam ini bukanlah bermaksud sama sekali mengurangkan wang kita, malah menambah rezeki dan kekayaan kita.

Bersedekahlah tanpa perlu mengharapkan sebarang balasan.

Pernahkah kita didatangi oleh seorang peminta sedekah yang mengharapkan sedikit wang untuk membeli makanan? Bagaimana respons kita terhadapnya? Berapa jumlah wang yang kita berikan?

Bersedekah bukanlah memberikan sekecil-kecil wang yang kita miliki, Memberi RM0.10 contohnya untuk diberikan kepada peminta sedekah itu sambil dalam hati berkata “Tentu ada orang lain lagi yang akan memberikan wang kepada dia.“

Usah bersedekah dengan cara ini kerana ia salah. Kerana niat kita bukanalah untuk bersedekah, sebaliknya memberi sedikit wang kepada orang tersebut.Bersedekah dengan semampu yang boleh. Fahamkah perkataan “semampu” itu.

Tidak mungkin kita hanya mampu menghulurkan hanya 10sen sahaja, kan? ;)

Lakukanlah sedekah dengan ikhlas. ikhlaskan dalam hati sehabis mungkin. Jangan pula ketika memberi sedekah tetapi dalam hati kita berniat agar orang peminta sedekah itu segera beredar. Atau berasa rugi dan merungut dalam hati ketika memberikan wang itu.

Ketika menghulurkan sedekah, janganlah disusuli dengan sesuatu perkataan yang menyakitkan hati si penerima sedekah tersebut. Contohnya dengan mengatakan. “Gunakan duit ini untuk perkara baik-baik, jangan pula pergi membazir.”

Walaupun niat kita baik, tetapi dalam masa yang sama kita telah menyakiti hati si penerima tersebut. Maka membuatkan sedekah kita tadi bukan lagi berupa sedekah.. rugi bukan?

Jangan mengharapkan balasan

Kita sering kali tersilap dalam memberi sedekah dan berkata dalam hati, semoga sedekah yang dilakukan oleh aku ini akan mendapat balasan setimpal. Sesungguhnya memberikan sesuatu tanpa mengharapkan balasan adalah lebih mulia disisi Tuhan berbanding mengharapkan balasan.

Allah menyatakan dalam firmanNya;

“Orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang hari secara sembunyi dan terang-terangan, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kebimbangan pada mereka dan tidak pula mereka bersedih.” [Al-Bakarah: 274]

2. Berdoa

Selepas berusaha melakukan kerja, jangan lupa untuk berdoa. Apa sahaja tindakan yang diiringi doa, akan diperkenankan oleh Allah SWT. Berdoa dan meminta adalah sifat semula jadi manusia. Hanya dengan doa, segala permintaan dapat didengari oleh-Nya. Insyaallah, rezeki akan tiba kepada kita cepat atau lambat sahaja.

Sebelum memulakan kerja, lakukan sedikit doa memohon keberkatan dari pekerjaan yang kita jalankan dan tanamkan niat berkerja mencari rezeki yang halal. Yang kita mahukan adalah dilimpahkan rezeki yang halal dan berkat.

“Ya Allah, Ya Tuhan yang Maha kaya, wahai Tuhan yang Maha Terpuji, wahai Tuhan yang Maha Pencipta, wahai Tuhan yang Maha Mengembalikan, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang, kayakan aku dengan perkara-perkara yang dikau halalkan dan bukan daripada yang dikau haramkan, serta dengan kelebihan atau kurniaan-Mu bukan daripada mereka selain daripada -Mu.”


3. Solat Sunat Dhuha

Solat ini sering diamalkan oleh ahli perniagaan Muslim. Sehinggakan ada yang mengamalkan solat sunat ini seperti sebahagian solat wajib.

Solat Dhuha ini satu-satunya solat yang memberikan limpahan rezeki dari Allah SWT. Jika diamalkan selalu, InsyaAllah pintu rezeki akan terbuka luas. Solat dhuha sering dikatakan magnet rezeki. Dengan melakukan solat ini, rezeki yang dipohon akan segera menjengah kita.

Doa Solat Dhuha :




Maksud doa:
“Ya Allah bahawasanya waktu Dhuha itu waktu Dhuha-Mu, kecantikan itu ialah kecantikan-Mu , keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu". "Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh”


Selain dari 3 Tips Mudah Untuk Murah Rezeki yang saya share di atas. Saya nak share lagi sedikit. Cuba anda amalkan membaca surah al-waqiah setiap malam. InsyaAllah, Murah Rezeki anda. Surah ni adalah surah yang paling saya suka sangat. Ingat lagi dulu arwah mak saya selalu pesan, kalau nak murah rezeki amalkan surah ni setiap hari. 

Alhamdulillah jika saya membaca surah ni selepas solat Isyak, keesokkan harinya saya mesti akan dapat "sale" atau rezeki lain yang tidak diduga. Hebat sungguh rezeki dari Allah. 

Sebelum mengakhiri, ingin saya nyatakan bahawa diatas adalah apa yang saya telah lalui.. Jika anda ada beberapa pengalaman dan tips yang mahu dikongsi bersama, mohon dapat dicatatkan dibahagian komen dibawah.

Sharing Is Caring ^__^


** Artikel ini bukan bertujuan untuk mengajar pembaca tentang bagaimana mendapat rezeki, tetapi sekadar perkongsian bersama**


Pengedar Sah Shaklee Ipoh Perak : Dilla Jalil (Shaklee ID 852451)
017 – 5657552 (whatsapp /sms)
admin@mamaqaireen.com (e-mail)
mamaqaireen.com (blog shaklee)
COD : KFC Medan Gopeng

Thursday, November 28, 2013

BAHAYA FITNAH

Saya terbaca tazkirah ini pada laman web Belia Islam, dan merasanya cukup relevan berikutan beberapa peristiwa baru-baru ini:
Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan.
Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.
Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.
Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.
Fikir-fikirkanlah, sebelum menghantar e-mel atau SMS. Jika masyarakat Islam sendiri boleh berperang sesama sendiri kerana fitnah, apatah lagi masyarakat majmuk? Jika benar sekalipun beberapa berita, tetapi jika menyebarnya tanpa konteks ia seolah-olah menyiram minyak di atas bara api.

Tuesday, May 29, 2012

Amalan sepanjang bulan Rejab

Assalammualaikum..dah lama sangat mama tak up date blogkan... Ok, hari ni mama nak share bersama anda amalan yang baik di bulan Rejab. Bulan Rejab ni bulan menyucikan diri.. bulan taubat. Mari kita sama2 perbanyakkan amal soleh seperti istigfar dan puasa sunat...Rasulullah SAW bersabda: “Kembalilah kepada tuhan kamu dengan keampunan daripada dosa-dosa kamu dan hindarilah perbuatan maksiat dalam bulan mulia, iaitu Rejab.”


Beberapa amalan yang baik dilakukan dalam bulan Rejab ialah:
  • Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun
  • Meneguhkan jiwa dan keimanan dengan memperbanyak bacaan al-Quran.
  • Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan beristighfar dan zikir
  • Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat, puasa dan bersedekah
  • Mohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya
  • Menginsafkan diri dengan membaca atau mendengar peristiwa Israk dan Mikraj, kisah teladan perjuangan Rasulullah dan sirah Islam lain.

AMALAN SEPANJANG REJAB
1. Bersolat
  1. Solat-solat sunat mengiringi solat fardhu.
  2. Solat sunat Israk, solat sunat Dhuha dan solat sunat Tasbih.
2. Bertaubat
Bertaubat dan berdoa mohon keampunan agar diterima amalan ibadat, minta selamat dunia dan akhirat, minta dilimpahi rahmat, minta dilepaskan daripada azab-Nya di akhirat dan mohon dimasukkan ke syurga. Dalam Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa-dosa orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Sekiranya ditambah dengan berpuasa Rejab wajib baginya;
  1. diampunkan dosanya yang lalu.
  2. dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
  3. terlepas dari dahaga di hari kiamat.
3. Berzikir; 100 kali selepas solat Subuh dan Asar.
(a) لآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ (Tiada Tuhan Melainkan Allah),
(b) الله ُ اَكْبَرُ (Allah Maha Besar)
(c) Baca setiap hari 10 kali:
لآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ قَبْلَ كُلِّ اَحَدٍ، لآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ بَعْدَ كُلِّ اَحَدٍ، لآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ يَبْقَى رَبُّنَا وَيَفْنَى كُلُّ اَحَدٍ.
Tiada Tuhan melainkan Allah sebelum tiap-tiap sesuatu, Tiada Tuhan melainkan Allah sesudah tiap-tiap sesuatu, Tiada Tuhan melainkan Allah kekal Tuhan kita dan fananya tiap-tiap sesuatu.

4. Bertasbih:

5. Selawat: 10 atau 100 kali.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيَّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ سَيَّدِنَا مُحَمَّد.
Ya Allah, sejahterakanlah Nabi Muhamad saw dan ahli keluarganya.

6. Istighfar 70 atau 100 kali pagi dan petang.
أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ.
Daku mohon ampun kepada Allah Yang Maha Agong dan daku bertaubat kepadaNya.

7. Istighfar kepada ibu bapa, seberapa banyak yang boleh;
رَبِّ اغْفِرْلِىْ وَلِوَالِدَىَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِىْ صَغِيْرًا.
Ya Tuhanku! Ampunilah daku dan dua ibu bapaku dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku sewaktu kecil.

8. Membaca surah Al-Ikhlas sekurang-kurangnya 11 kali setiap hari.

9. Membaca Al-Quran.
Istigfar : Rasulullah saw menganjurkan umatnya agar memperbanyakkan istighfar. Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka. Dan banyakkanlah beristighfar pada Rejab kerana pada setiap saat dalamnya Allah menyelamatkan seorang daripada api neraka.

10. Antara istighfar sepanjang Rejab yang diamalkan baginda ialah Penghulu Istighfar:
Sayyidul Istighfar.
اَللَّهُمَّ اَنْتَ رَبِّىْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اَنْتَ خَلَقْتَنِىْ وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَااسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّمَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُلَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ وَأَبُوْءُ بِذَنْبِىْ فَاغْفِرْلِىْ، فَإِِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ اَنْتَ.
Ya Allah! Dikaulah Tuhanku, Tiada Tuhan melainkan Dikau; Dikau yang menciptakan daku dan daku adalah hamba-Mu. Dan sedaya mampuku, daku berpegang dengan janji dan sumpah setiaku terhadap-Mu. Daku memohon perlindungan-Mu daripada segala kejahatan yang telah dilakukan; daku mengakui akan segala nikmat yang Dikau berikan kepadaku dan daku mengakui akan dosa-dosaku. Maka ampunilah daku kerana tiada yang mengampuni dosa-dosa kecuali Dikau.
______________
Semoga apa yg dikongsikan bermanafaat buat diri mama dan semua yg membacanya.
Sekian terima kasih kepada Family Shaklee kerana sentiasa mengingati..



Saturday, April 21, 2012

Nama Anak Juga Mencerminkan Kesihatan

Assalammualaikum..pagi ni mama saya blogwalking. Tiba2 mama terjumpa dengan satu web ni. Mama tertarik dgn satu entry yang bertajuk "Nama Anak Juga Mencerminkan Kesihatan"


Pernah tak anda dengar, ada org2 tua cakap "nama budak ni berat, tak sesuai" lepas tu mereka tukar nama lain. Mungkin mereka tak berapa pandai utk terangkan..so mereka cakap macam tu jelah kan?

Nama penuh anak mama NUR QAIREEN SYAZA = CAHAYA KEBAIKAN HARUM.


Mama memang cari nama yang "ringan" untuk dia, janji maksud nama tu baikkan. Oh ye..lagi satu..mama juga tak pernah panggil Qaireen dengan nama "pendek" atau nama "singkatan". Biarlah orang cakap, panjang sangat Qaireen tu..tapi mama tahu..maksud Qaireen adalah Kebaikan. Harapan mama, Qaireen akan jadi seorang Hamba Allah seperti namanya juga iaitu hamba ya BAIK ^_^


Jom mama nak share bersama info yang mama dapat..
________________________________________________________


Kebanyakan wali, ulama dan orang yang tinggi ilmu agamanya kerap memberikan nama anaknya yang hampir serupa dengan keluarganya, sebagai contohnya Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Zein Al-Abidin bin Ali bin Muhammad. Revolusi berlaku dan sejak pertambahan penduduk dunia, masing-masing ingin memberikan kelainan pada nama anaknya (termasuk nama ana pun lain dari yang lain). Ini termasuklah membuang nama keluarga kerana dianggap ketinggalan zaman seperti Wan, Tuan, Raja, Nik, Syed, Siti, Raden (keturunan abah ana ni), Megat, Putri, Sharifah, Dayang, Long, Che (Keturunan ummi ana), Pangeran, Abang, Awangku, Si, Hang dan lain-lain lagi.

Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
Dari Abu Darda’ Radhiyallahu 'Anhu, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda; “Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu pada Hari Kiamat, maka perelokkanlah nama-nama kamu.” (Hadith Riwayat Abu Dawud)

Nama yang baik untuk lelaki ialah Muhammad atau Ahmad. Hasan dan Hussin juga kategori nama baik. Manakala nama yang baik untuk wanita ialah sebagaimana nama yang diberikan oleh rasulullah kepada anak perempuannya. Nama memain peranan dalam kesihatan dan keselamatan. Di akhirat esok, ibu bapa juga akan ditanya tentang nama anaknya.

Nama anak yang dilarang kita berikan (mengikut konsep perubatan islam dan sihir) sejauh pengalaman ana antaranya:

a. Syafiqah (Penyayang/Belas Kasihan)
b. Balqis (Permaisuri Sheba, Habsyah/Ethiopia)
c. Zaquan (Cerdik/Harum)
d. Qistina (Keadilan)
e. Najwa (bisikan)
f. Balqmah
g. Saisan
h. Jin atau jeans atau Jenni atan Jan
i. Awamir
j. Batrisyia
k. Erisya (Arisya)
l. Azazil, Wiswas, Khannas, Murrah, Harb, Soba

dan lain-lain nama jin kerana 12 contoh nama di atas telah menjadi trend zaman sekarang untuk diberikan pada anak. Mengikut konsep perubatan islam dan sihir, pesakit yang mempunyai nama tersebut (melalui pengalaman ana dalam merawat) kerap mendapat gangguan jin. Malah kes terbaru ialah Balqis di Terengganu.

Dari Ibnu Umar Radhiyallahu 'Anhu, bahawa Sayyidina Umar bin Al-Khattab Radhiyallahu 'Anhu mempunyai seorang anak perempuan namanya “‘Aashiah” (Penderhaka), Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam telah menukarkan namanya kepada “Jamilah” (Yang Cantik). (Hadith Riwayat Al-Tirmidzi dan Ibnu Majah) 

Ada ibu kepada pesakit ana mempersoalkan, nama balqis itu nama isteri nabi sulaiman. Tapi kita harus ingat, Balqis (Permaisuri Sheba) itu adalah kacukan jin dan manusia (dan diakui oleh rasulullah melalui riwayat hadis). Rujukan terjemahan buku Pesona Ratu Balqis dalam buku karangan Ibnu Kathir. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah pernah berkata bahawa salah seorang daripada ibu bapa Balqis adalah jin. Hadis ini ada dalam Kitab al-Jami' as-Saghir oleh Imam as-Sayuti. Balqis adalah seorang raja di zaman Nabi Sulaiman. Bapanya manusia dan ibunya daripada jin, ibunya bernama Balqmah binti Saisan.

Abdullah bin Muhammad bin Ubaid meriwayatkan satu hadis, daripada Mujahid, ia berkata: Iblis mempunyai lima anak, masing-masing diberi tugas, iaitu Thabur, A’war, Masuth, Dasim dan Zalambur. Thabur berurusan menggoda orang yang ditimpa musibah agar meratap, mengoyak-ngoyak pakaian dan meratap ratapan jahiliah: A’war ditugaskan menggoda manusia melakukan zina. Masuth ditugaskan menggoda manusia agar mencampuradukkan berita benar dengan palsu serta menimbulkan fitnah. Dasim pula menggoda suami agar marah isteri, manakala Zalambur menipu menyemarakkan manusia agar menipu ketika di pasar.

Elakkan short-form memberi nama anak seperti 'Mohd', 'Md' dan lain-lain bagi nama Muhammad. Ianya sama sekali tidak memberi apa-apa makna. Begitu juga siti yang berasal dari perkataan sayyidatuna/sayyidati (tuan perempuan kami), syed yang berasal dari perkataan sayyid (Tuan) atau Sidi (Sayyidi/Sayyiduna), Meor (dari perkataan Ameer) dan lain-lain lagi.

Berikan nama mengikut ejaan bangsa. Contohnya di Malaysia, ejaan "Muhammad" ialah "Muhammad". Jika di negara Balkan, mereka mengeja "Mehmet". Janganlah kita meniru mereka, kerana bangsa kita mengeja "Muhammad". 

Itu belum lagi nama yang kerap mendapat barah (sila rujuk hospital, kebanyakan pesakit barah hampir-hampir mempunyai nama yang sama). 

Selain itu, nama yang mempunyai maksud yang jahat, jahil dan kafir, lucah, ganas. Selain itu nama yang tidak dibenarnya.:
- zin/ziana (Zina)
- wati (setubuh/pelacur)
- nama perempuan kepada anak lelaki
- nama lelaki kepada anak perempuan
- nama vokal yahudi dan nasrani (contohnya Yusuf - Joseph, Musa - Moses, Ibrahim - Abraham, Daud - David, Sulaiman - Solomon, Iskandar - Alexander)

Jika tidak ada idea, letak sahaja nama Muhammad atau Ahmad kepada anak lelaki dan kepada anak perempuan letak sahaja nama Aisyah atau Fatimah. Ibu bapa dinasihatkan supaya mengutamakan nama yang mempunyai maksud yang baik dan tidak terlalu teruja dengan nama yang menjadi pilihan pada hari ini walaupun nama tersebut tidak mempunyai makna yang baik malah lebih malang lagi jika ia tidak selari dengan tuntutan Islam.

Isu Nama Anak Jin (updated: 20 Disember 2011)
Blog ini ditulis pada bulan November 2010. Isu ini timbul apabila Ustaz Sharhan menggunakan entry post dalam blog ana sebagai hujah di dalam TV pada pertengahan Disember 2011 baru-baru ini iaitu setahun selepas artikel ini ditulis. Perkara ini tidak patut dijadikan sebagai publikasi umum kerana orang yang terkena sihir bukannya 30 juta di Malaysia. Ianya sebagai nasihat kepada keluarga yang terkena sihir atau yang mempunyai saka supaya tidak menggunakan nama-nama ini. Perkara ini tidak patut diperbesarkan kerana ia dipandang dari sudut pengubatan Islam dan bukan dipandang melalui masalah akidah.

Nama anak jin: Pendapat Ustaz Zaharuddin dan pandangan Dato' Dr Haron Din " berkenaan nama-nama yang dikatakan anak JIN

"Tiada sebarang dalil yang sohih berkenaan nama-nama tertentu adalah nama anak JIN, lalu dikatakan jika diguna dan dipanggil kepada anak kita, lalu anak kita akan ditimpa penyakit misteri. Hal ini sama sekali TIDAK BOLEH DIPERCAYAI, malah bercanggah dgn firman Allah surah al-Naml ayat 65. Malah boleh termasuk dalam mensialkan nama tertentu, jika itu berlaku boleh jatuh syirik, Nabi bersabda :اَلطِّيَرَةُ شِرْكٌ ، اَلطِّيَرَةُ شِرْكٌ Ertinya : Sial menyial itu syirik, sial menyial itu syirik ( Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).

Saya (Dr Zaharuddin) baru sahaja menghubungi Dato' Dr Haron Din berkenaan nama-nama yang dikatakan anak JIN, beliau MENOLAKNYA dan juga menggunakan ayat 65 surah an-Naml menolak pengalaman tertentu sesiapa jua yg mengatakan nama-nama tertentu boleh membawa penyakit misteri. Cuma hanya ada nama JIN yang disebut di dalam hadis sahaja yang elok tidak digunakan sepertt Azazil, Wiswas, Khannas, Murrah, Harb, Soba dan beberapa yang lain disebut dalam hadis, Itupun tidak sohih jika guna maka akan kena sakit misteri. Ia bercanggah dengan Al-quran."


Ulasan Hadis Nama Balqis

1. Salah satu daripada ibu bapa Balqis adalah jin
Perawi: Abu Hurairah dari Ibnu Uday dalam Kitab Al-Kamil Fi Al-Dhu'afa'
Status Hadis: Dhaif

أحد أبوي بلقيس كان جنيا
الراوي: أبو هريرة المحدث: ابن عدي - المصدر: الكامل في الضعفاء - الصفحة أو الرقم: 4/416
خلاصة حكم المحدث: [فيه] سعد بن بشير لعله يهم في الشيء بعد الشيء ويغلط والغالب على حديثه الاستقامة والغالب عليه الصدق

2. Salah satu daripada ibu bapa Balqis adalah jin
Perawi: Abu Hurairah dari Ibnu Al-Qaisrani dalam Kitab Zakhirat Al-Huffaz
Status Hadis: Dhaif

أحد أبوي بلقيس كان جنيا
الراوي: أبو هريرة المحدث: ابن القيسراني - المصدر: ذخيرة الحفاظ - الصفحة أو الرقم: 1/245
خلاصة حكم المحدث: [فيه] سعيد بن بشير ضعيف

3. Salah satu daripada ibu bapa Balqis adalah jin
Perawi: Abu Hurairah dari Ibnu Katsir di dalam Kitab Bidayat Wa An-Nihayah
Status Hadis: Hadis Gharib dengan Sanad Yang Dhaif

كان أحد أبوي بلقيس جنيا
الراوي: أبو هريرة المحدث: ابن كثير - المصدر: البداية والنهاية - الصفحة أو الرقم: 2/20
خلاصة حكم المحدث: غريب وفي سنده ضعف

4. Salah satu daripada ibu bapa Balqis adalah jin
Perawi: Abu Hurairah dari Al-Albani di dalam Kitabnya Al-Silsilah Al-Dha'ifah
Status Hadis: Mungkar

كان أحد أبوي بلقيس جنيا
الراوي: أبو هريرة المحدث: الألباني - المصدر: السلسلة الضعيفة - الصفحة أو الرقم: 5778
خلاصة حكم المحدث: منكر

5. Salah satu daripada ibu bapa Balqis adalah jin
Perawi: Abu Hurairah dari Al-Albani di dalam Kitabnya Dha'if Al-Jami'
Status Hadis: Dhaif

أحد أبوي بلقيس كان جنيا
الراوي: أبو هريرة المحدث: الألباني - المصدر: ضعيف الجامع - الصفحة أو الرقم: 185
خلاصة حكم المحدث: ضعيف

6. Salah satu daripada ibu bapa Balqis adalah jin
Perawi: Abu Hurairah dari Al-Albani di dalam Kitabnya Al-Silsilah Al-Dha'ifah
Status Hadis: Dhaif

أحد أبوي بلقيس كان جنيا
الراوي: أبو هريرة المحدث: الألباني - المصدر: السلسلة الضعيفة - الصفحة أو الرقم: 1818
خلاصة حكم المحدث: ضعيف


Pemberian nama manusia adalah suatu perkara yang penting dalam Islam.
Kepentingan ini jelas seperti mana yang disebut dalam al-Quran. Firman Allah :

"(Ingatlah), ketika Malaikat berkata: "Hai Maryam, seungguhnya Allah menggembirakan kamu (dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan) dengan kalimat (yang datang) daripada-Nya, namanya Al Masih 'Isa putera Maryam, seorang terkemuka di dunia dan di akhirat dan termasuk orang-orang yang di dekatkan (kepada Allah)" (Ali Imran: 45)


"Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi kabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan nama dia." (Maryam: 7)

"...dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)." (as-Saff: 6)

Nama Ditinjau Dari Hadis
Seperti mana al-Quran, Nabi saw juga mengambil penting dalam pemberian nama. Nabi bersabda:

"Pada malam ini aku mendapat anak dan aku namakan dengan nama moyangku iaitu Ibrahim." (Hadis sahih Muslim dan Abu Daud)

Nabi menggalakkan kepada ummatnya agar memberi nama yang terbaik. Baginda bersabda:

"Sesungguhnya kamu akan dipanggil dengan Namamu dan Nama bapa kamu. Elokkanlah nama-nama kamu." (Hadis daif riwayat Ibnu Hibban).

daripada Abdullah bin Umar RA berkata,Nabi SAW bersabda: "sesungguhnya nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman”. (Hadis sahih riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi.)

Ibnu Solah menyebut bahawa terdapat 220 orang sahabat Nabi yang bernama Abdullah. al-'Iraqi pula menyebut bahawa terdapat 300 orang sahabat yang bernama Abdullah.

Namakan dengan nama para Nabi,dan nama yang paling disukai di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman dan yang paling tepat ialah Haris(pekerja),Hammam(yang mempunyai keazaman).dan nama yang paling buruk ialah Harb(perang) Dan Murrah (pahit)” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai)

Nabi sendiri meyuruh umatnya untuk menamakan dengan namanya. Baginda bersabda: "Berilah nama dengan namaku dan jangan beri gelaran kunyah dengan kunyah ku (Abu Qasim)" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nabi bersabda kepada seorang lelaki " Namakan anakmu dengan nama Abdur Rahman." (Hadis sahih riwayat Muslim)

“Apabila engkau memberi nama hendaklah yang ada perkataan 'Abdu” (Hadis riwayat Thabrani)

Imam Ibnu Hazm berkata: “Para ulama bersepakat bahwa disunatkan nama yang disandarkan kepada nama Allah seperti Abdullah dan Abdurrahman.”

Larangan Memberi Nama Buruk
Nabi saw bersabda: Daripada Umar RA berkata,Nabi saw bersabda,”Aku menegah daripada menamakan dengan nama Rafi’ (ketinggian)’, Barakah (keberkatan), dan Yassar (senang)”. (Hadis riwayat Tirmizi dengan sanadnya yang kuat.)

Dalam hadis yang lain, Nabi saw bersabda: “Jangan namakan anakmu dengan nama senang, keuntungan dan kejayaan. Sebabnya adalah jika kamu bertanya adakah 'kuntungan' ada? Jika tidak ada, orang akan menjawab "Keuntungan tidak ada.” (Hadis sahih riwayat Muslim, Tirmizi dan Abu Daud)

Imam Nawawi berkata: Ulama syafie berkata: “Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama ini dan apa yang membawa kepada sebab larangan ini. Larangan ini adalah hanya makruh tidak haram.”


Monday, April 2, 2012

Surah Amalan Sepanjang Penyusuan & Mengandung

Untuk menjayakan penyusuan, ibu perlu kuat dari segi mental dan fikizal. Namun penyusuan bukan berkisar kepada hasil tuaian susuibu semata2 tetapi lebih kepada bonding.


Pembentukan hati dan perasaan si anak berkait rapat dengan emosi ibu semasa menyusukan atau memerah. Maka jom amalkan beberapa surah ini agar hati anak yang terhasil adalah hati yang tawaduk pada Ilahi.


Malah amalan ini juga harus di mulakan senjak daripada bayi dalam kandungan ibu lagi.

InsyaAllah
________________________________________________________


Surah Al-Fatihah - Untuk menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan

Surah Maryam – Untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat.

Surah Luqman – Untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa.

Surah Yusuf – Untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak.

Surah Hujurat – Untuk memperbanyakkan susu ibu da dan anak bersifat berhati-hati

Surah Yaasin – untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat.

Surah Taubah – Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat.

Surah an-Nahl – Untuk melahirkan anak yang berdisiplin.

(Ruj dari Ustazah Siti Nor Bahayah)


Alhamdulillah dah besar anak mama..19hb Mei 2012 Qaireen 2 Tahun ^_^

Friday, December 2, 2011

HUKUM MINUM BERDIRI & KESANNYA TERHADAP KESIHATAN



Islam telah menetapkan adab bagi umatnya dalam melakukan sesuatu kegiatan bagi mendapat kesejahteraan. Begitu juga Islam telah menetapkan adab-adab ketika minum.

Kajian Dari Sudut Sains

Di antara sebab larangan minum berdiri ialah, menurut pakar perubatan Dr Abdul Razzak Al-Kailani “Sesungguhnya makan dan minum dalam keadaan duduk lebih baik dari segi kesihatan, lebih selamat, lebih puas. Di mana makanan dan minuman akan melalui dinding perut dengan perlahan-lahan.

Minum berdiri menyebabkan cecair akan jatuh ke dasar perut dengan laju dan akan melanggar lapisan perut. Kalau perkara ini sering berlaku dan dalam jangka masa panjang akan menyebabkan perut menjadi longgar dan jatuh sehingga menyebabkan minuman susah untuk dihadam. Begitu juga dengan makanan.

Menurut pandangan Dr Ibrahim Ar-Rawi, apabila seseorang itu berdiri ototnya menjadi tegang dan pada masa yang sama sistem imbangan pada sistem saraf pusat (central nervous system) dalam keadaan terlampau aktif mengawal semua otot, untuk melakukan proses pengimbangan dan berdiri tegak.

Central nervous system (2) adalah gabungan otak (1) dan saraf tunjang (3)

Ia adalah proses gabungan di antara sistem saraf dan sistem otot dalam satu masa yang menyebabkan manusia tidak mampu mengawal kedua-duanya untuk rehat. Keadaan otot yang rehat adalah syarat yang terpenting ketika makan dan minum dan keadaan ini hanya wujud ketika seseorang itu duduk.

Apabila duduk maka sistem saraf dan sistem otot dalam keadaan tenang akan menjadi aktif serta sistem penghadaman akan bertambah kemampuan untuk menerima makanan dan minuman. Ini akan menyerap (assimilation) makanan dengan cara yang betul.

Namun demikian diharuskan minum berdiri di tempat yang tidak sesuai untuk duduk seperti tempat yang terlampau sesak. Ini adalah kerana Nabi s.a.w pernah minum berdiri, ini berdasarkan kepada hadis Ibn Abbas yang menyatakan Rasulullah minum air zam-zam berdiri.

Mengapa Rasulullah minum air zam-zam dalam keadaan berdiri?

Menurut kajian pakar, air zam-zam mengandungi fluorida yang memiliki daya efektif membunuh kuman serta ia mengandungi kalsium dan garam magnesium yang tinggi berbanding air biasa, dari segi saintifik air zam-zam bersifat alkali, jadi air zam-zam boleh meneutralkan asid hidroklorik yang terhasil di dalam perut dan mengurangkan pedih ulu hati.

Jadi inilah sebab Rasulullah minum air zam-zam berdiri supaya air tersebut dapat meneutralkan asid yang terhasil dalam perut dengan cepat.

Selain itu, air zam-zam juga mengandungi iodin, sulfat dan nitrat. Kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potassium menyebabkan air zam-zam bersifat nutritif berbanding sumber lain. Inilah yang membuatkan air zam-zam dapat menyegarkan para jemaah Haji yang meminumnya dan memberi ketahanan antibodi kepada orang yang meminumnya.

sumber

Saturday, November 26, 2011

DOA AWAL TAHUN & AKHIR TAHUN HIJRIAH


Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. 


Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata: "Hampalah kami di sepanjang tahun ini". 

Doa Akhir Tahun: 

Maksudnya: 
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. 

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu. 

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka. 

_______________________________________________________________________

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. 



Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut. 

Doa Awal Tahun: 

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. 

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia. 

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka. 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...