Kanak-kanak dilahirkan dengan potensi untuk menjadi kreatif. Mereka berhak diberi peluang untuk mengasah bakat dan kreativiti mereka, dan menggunakan sepenuhnya potensi mereka. Sebagai ibu bapa, kita boleh memainkan peranan penting untuk menggalakkan mereka. Meskipun kreativiti tidak boleh diajar, kita boleh menyediakan persekitaran yang menggalakkan kreativiti anak-anak kita.
Manfaat Kreativiti
Kreativiti memberi manfaat kepada kanak-kanak dalam banyak cara. Mereka lebih banyak menggunakan imaginasi mereka, bersedia untuk mencuba perkara yang berlainan, dan berani memperlihatkan ekspresi diri dan berfikiran terbuka. Di samping itu, mereka dapat membina ketabahan, keyakinan diri, keupayaan untuk berdikari, toleransi terhadap kekaburan, dan mungkin juga, suka berjenaka.
|
| |
Cara-cara Ibu Bapa untuk Menggalakkan Kreativiti
- Biarkan mereka bermain dan meluahkan idea. Bermain adalah sebahagian penting daripada pembelajaran yang membantu memupuk kemahiran pemikiran kreatif kanakkanak. Ia membolehkan mereka menghayati kreativiti menerusi lima deria mereka – penglihatan, pendengaran, rasa, bau, dan sentuhan. Ibu bapa boleh merangsang imaginasi dan menggalakkan kreativiti si manja melalui lakonan dan imaginasi.
- Sediakan persekitaran yang menggalakkan kreativiti. Ini boleh dilakukan dengan memastikan anak-anak merasa selesa untuk memperlihatkan idea mereka tanpa rasa takut ia akan ditolak, dan memastikan keselamatan mereka terjamin supaya mereka boleh meneroka dunia di sekeliling tanpa gangguan.
- Tanya soalan yang membina dan jangan bataskan soalan mereka. Ibu bapa juga perlu fleksibel menerima jawapan atau respons daripada anak-anak mereka. Walaupun salah, mereka tidak perlu dimarah. Sebaliknya, gunakan kesempatan itu untuk mengajar anak mencari jawapan yang betul. Menyelesaikan masalah adalah komponen penting pemikiran kreatif.
- Rangsang pemikiran kreatif dengan aktiviti yang sesuai dengan usia. Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bersama anak-anak, termasuk aktiviti seni, muzik, sukan dan memasak. Aktiviti lain seperti membaca buku dan menonton program pendidikan dan multimedia juga boleh membantu memupuk kreativiti kanak-kanak.
Potensi Kreativiti yang Merosot…?
|
Sekolah dan rumah adalah dua tempat paling penting yang boleh membantu, sama ada untuk menggalakkan atau membantutkan kreativiti kanak-kanak. Namun, sering kali, orang dewasa secara tidak disedari membantutkan kreativiti kanak-kanak dengan amalan biasa seperti berikut:
- Buat penilaian – Penilaian ibu bapa atau guru kerap mengelirukan kanak-kanak. Sebagai contoh, apabila ibu bapa mengkritik lukisan anak atau memuji semata-mata untuk memberi galakan, si anak akan mula menghasilkan lukisan sebagai percubaan untuk menggembirakan ibu bapa. Lukisannya bukan lagi merupakan ekspresi kreativiti. Ia menjadi alat untuk mendapatkan pujian. Sebaliknya, teguran negatif yang terlalu kerap boleh menyebabkannya berhenti melukis sekaligus.
- Enggan lepaskan – Ada ibu bapa yang terlalu mengawal, menekan, atau mengongkong anak-anak mereka, hingga tidak memberi ruang kepada anak-anak untuk memupuk kreativiti atau ruang untuk mereka menyelesaikan persoalan dan/atau masalah mereka sendiri.
- Teladan yang tidak memberangsangkan – Orang dewasa adalah teladan kepada kanak-kanak. Jika ibu bapa sendiri tidak menunjukkan minat dalam idea objek atau inovatif dan pengalaman baru, kanak-kanak tidak dapat meneroka dunia yang penuh idea dan pemikiran kreatif dari awal lagi. Maka, kehidupan mereka turut sebegitu sahaja.
|
|
Info dari mypositiveparenting.
|
|
perkongsian yang baik :) TQ
ReplyDelete