MamaQaireen Shoppe

Search This Blog

Tuesday, October 11, 2011

HUBUNGAN SUAMI ISTERI


Kebanyakan wanita dalam pantang selalu memikirkan bila waktu yang sebaiknya untuk memulakan hubungan kelamin dan apakah perlu dia mengamalkan cara mencegah kehamilan. Kedua-dua perkara ini berkaitan antara satu sama lain kerana apabila hubungan kelamin dimulakan, wanita ini tentulah terdedah kepada kemungkinan akan haamil lagi, walaupun dia belum mengkehendakinya.
  Memulakan hubungan kelamin selepas bersalin boleh menjadi satu masalah yang rumit. Segolongan besar wanita, memulakan hubungan kelamin sebaik sahaja habis waktu pantang. Namun demikian, ada juga yang memulakan lebih awal. Orang Barat memulakan hubungan kelamin dua minggu selepas bersalin sementara orang Cina pula lebih suka melambatkannya sehingga tiga bulan. Jika kelahiran dilakukan melalui pembedahan sesarean, waktu pantang mereka dipanjangkan sehingga 100 hari. Sekarang ini tidak semua orang Cina mengamalkan tradisi ini.
  Ramai juga wanita berasa khuatir sama ada hubungan kelamin selepas bersalin akan memberi kepuasan yang sama seperti sebelumnya. Bagi sesetengah wanita mereka terlalu memikirkan soal memberi kepuasan ini kepada suami dan menjadi satu isu yang sangat penting untuk kesejahteraan dan kebahagiaan rumahtangga.
  Dengan tujuan inilah ramai wanita mengamalkan atau melakukan berbagai-bagai jenis amalan sama ada secara tradisi atau moden untuk memulihkan keadaannya. Ada yang sanggup serta mematuhi nasihat orang-orang tua. Ada pula yang mendengar nasihat kawan-kawan, berpandukan buku, risalah-risalah dan ada juga yang terus berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat. Sesetengah amalan ini boleh mendatangkan manfaat dan mempunyai asas saintifik, tetapi ada juga amalan tradisi ini yang boleh membawa akibat buruk serta memudaratkan yang boleh menjejaskan hubungan kelamin. Dalam hal ini wanita perlu diberi tunjuk ajar, nasihat dan panduan yang wajar supaya apa yang dilakukannya itu tidak mendatangkan kesan yang bertentangan dengan apa yang diharapkan.
  Ada juga sesetengah wanita amat takut memulakan perhubungan kelamin kerana kemungkinan ia akan mendatangkan rasa sakit, khususnya wanita yang mengalami jahitan atau pembedahan ketika bersalin. Memang benar kadang-kadang berlaku jahitan pada luka jahitan episiotomi tidak dilakukan dengan teliti oleh doktor yang menyambut kelahiran. Ia juga mungkin disebabkan oleh jangkitan kuman yang menyebabkan luka ini bernanah dan jahitannya terbuka. Dalam hal demikian pemulihan luka pada kemaluan mungkin terjejas menyebabkan masalah kesakitan ketika mengadakan persetubuhan.
  Jika keadaan ini berlaku sebaiknya wanita berkenaan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Kadangkala kesakitan ini persetubuhan dan keadaan demikian boleh menggugat kesejahteraan dan kebahagiaan suami isteri.

Perlukah Merancang Kehamilan?
Wanita dalam pantang selalu juga memikirkan sama ada dia perlu mengamalkan kaedah mencegah kehamilan atau tidak dan kaedah mana yang paling sesuai untuknya.
  Saya percaya kebanyakan wanita tidak berhasrat untuk terus hamil sebaik sahaja habis pantang. Memang tidak boleh disangkal, ramai wanita terjerat dengan kehamilan yang belum dikehendakinya. Reaksi wanita terhadap keadaan demikian berbeza antara satu sama lain. Ada yang terpaksa menerimanya dengan kerelaan walaupun di segi fizikal, rohani dan mental dia belum bersedia lagi untuk menghadapi proses kehamilan dan kelahiran dalam waktu yang begitu singkat. Ada pula yang menerima kehamilan kerana paksaan suami yang tidak memahami dan tidak pernah mengalami pahit maung, duka lara dan kesakitan serta beban ketika hamil, melahirkan serta menjaga bayi. Ada pula yang tidak dapat menerima hakikat ini dan terus mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungannya, sama ada dengan cara moden ataupun tradisi. Menggugurkan kandungan secara tradisi jauh lebih tinggi daripada cara moden, tetapi perlu diingatkan kedua-duanya adalah salah di sisi undang-undang dan agama.
  Sebaiknya wanita patut menjarakkan kehamilan yang berikutnya selama dua tahun. Islam juga menggalakkan perancangan ini seperti tercatat dalam al-Quran surah al-Baqarah yang bermaksud: ‘Ibu hendaklah menyusukan bayi mereka selama dua tahun genap, bagi siapa yang mahu menyempurnakan tempoh penyusuan tersebut. Jika ibu meyusukan bayi sendiri sepenuhnya, bukan sahaja dia mendapat faedah yang banyak dari segi mutu makanan bayi, malah dalam masa yang sama dia juga mengamalkan satu cara pencegahan kehamilan yang natural atau semulajadi.
  Biasanya, dalam waktu penyusuan sebahagian besar wanita tidak akan hamil. Dalam tiga bulan pertama penyusuan, 90 peratus wanita tidak akan hamil, tetapi selepas enam bulan peratus ini berkurangan sedikit dan selepas setahun biasanya hanya 70 peratus sahaja yang berjaya mencegah hamil manakala 30 peratus akan hamil jika mereka tidak menggunakan cara mencegah kehamilan yang lain. Dari segi perubatan, jarak yang disyorkan ialah dua tahun juga. Jarak ini diperlukan untuk ibu mencapai tahap kesihtan yang baik dari segi kesihatan fizikal, mental dan rohaninya, khususnya taraf pemakan dan taraf kepekatan darahnya (hemoglobin) yang dianggap sebagai penting untuk menghadapi kehamilan yang berikutnya.
  Di samping itu bayi yang berumur dua tahun kurang bergantung pada ibunya untuk memenuhi pelbagai keperluan. Tegasnya, apabila anak berikutnya lahir, ibu boleh menumpukan sepenuh perhatian dan jagaan kesihatan bayi, di samping memberi masa untuk ibu berehat.
  Pembentukan dan perkembagan fizikal serta mental kanak-kanak dalam masa dua tahun pertama adalah sangat penting sebagai asas pembangunan kanak-kanak di masa hadapan. Andainya ibu sedang sarat mengandung, sudah tentulah dia tidak dapat lagi menumpukan sepenuh perhatian dari segi masa dan tenaga kepada anaknya yang kecil itu.
  Terdapat bukti-bukti saintifik dari kajian yang menunjukkan jarak antara kehamilan akan menentukan keselamatan bayi baru dilahirkan, dan kejayaan kehamilan yang berikutnya. Sama ada kehamilan itu gugur, janin mati dalam rahim ataupun menghasilkan bayi yang hidup sihat sejahtera ketika lahir banyak ditentukan oleh jarak kehamilan ibu.
  Saya berpendapat menjarakkan kehamilan sangat penting dari segi kesihatan dan kesejahteraan ibu serta bayinya. Bagi ibu yang menyusukan anak dengan susu sendiri, saya mencadangkan supaya mereka juga patut menggunakan cara mencegah kehamilan yang lain untuk menentukan dia tidak hamil ketika menyusukan anaknya.
  Sebaiknya amalan mencegah kehamilan ini dimulakan selepas pantang. Ada yang mencadangkan penggunaan alat atau ubat pencegah hamil ini dimulakan tiga bulan selepas waktu pantang jika ibu memberi susu badan sepenuhnya. Bagi ibu ini, pil pencegah hamil tidak begitu sesuai kerana ini biasanya boleh menyebabkan air susu kering atau berkurangan.
  Cara yang selalu dicadangkan ialah melalui suntikan hormon yang diberi tiga bulan sekali (Uni Depo) atau dua bulan sekali (Norigest). Suntikan hormon ini adalah selamat dan di samping memberi kesan mencegah kehamilan, ia juga dikatakan memperbanyakkan pengeluaran susu. Kesan sampingan yang biasa dialami iaitu gangguan pusingan haid tidak akan menimbulkan masalah kerana ibu yang menyusukan bayi tidak akan keluar darah haid mereka.
  Satu lagi cara yang digalakkan oleh doktor ialah penggunaan alat dalam rahim khusus bagi ibu yang menyusukan anak. Bagi ibu yang tidak menyusukan bayi dan tidak berhasrat untuk hamil dengan secepat mungkin, perlu mengamalkan cara mencegah hamil yang dianggap berkesan dan selamat. Dalam hal ini wanita boleh mendapat bimbingan dan nasihat daripada klinik keluarga atau klinik ibu dan bayi yang terdapat di sekitar pelusuk negara kita.

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...