Ekspresi diri adalah aspek perkembangan kanak-kanak yang sangat penting. Anak anda sepatutnya boleh meluahkan perasaan, emosi, fikiran dan kreativitinya dengan bebas dan selamat. Menyediakan persekitaran yang dipenuhi rasa hormat, kasih sayang dan belas kasihan merupakan cara terbaik untuk membantu anak anda mengekspresi dirinya, kerana tanpa ini, adalah amat sukar untuk anak anda meluahkan perasaannya.
Secara amnya, terdapat tiga jenis ekspresi diri: Ekspresi Seni, Ekspresi Bermain, dan Ekspresi Membina.
Serlahkan bakat seni anak anda!
Ekspresi seni merupakan salah satu cara terbaik untuk mengekspresi diri. Berikan anak anda pensil warna dan kertas, dan anda akan kagum dengan hasil lukisan atau mewarnanya. Mengecat, melukis, mewarna dan menulis merupakan bentuk-bentuk luahan yang kukuh untuk pelbagai emosi yang anak anda rasai atau alami di dalam aktiviti hariannya.
Membenarkan anak anda mengecat atau melukis secara bebas boleh membantu membuka mindanya. Ini adalah komponen penting dalam perkembangan seorang kanak-kanak, dan kanak-kanak sering membentuk fikiran dan idea menerusi lukisan mereka, walaupun hanya melukis objek atau bentuk-bentuk yang tidak berkaitan! Jenis ekspresi diri ini adalah yang paling penting dalam mengembangkan kemahiran komunikasi dan emosi, serta kesedaran psikologi.
Bermain, bentuk ekspresi yang penting!
Ekspresi bermain merupakan satu lagi cara untuk membantu anak anda mengekspresi diri. Dengan membenarkannya bermain dengan kanak-kanak lain menerusi sukan dan aktiviti lain yang menyeronokkan, anda boleh mengajarnya tentang kerjasama, kemahiran hubungan dan juga menghormati orang lain. Tambahan lagi, anda juga boleh menyediakan batasan dan peraturan sebagai panduan. Ini membantu kanak-kanak untuk bermain dan bersuka-ria secara bertanggungjawab tanpa menganggu waktu bermain dan juga perkembangan mereka.
Pastikan anak anda tidak menonton televisyen terlalu lama kerana ia merupakan perantaraan sehala dan tidak akan membantu menggalakkan sebarang pemikiran kreatif atau kritikal. Sebaliknya, cubalah untuk bermain permainan papan dengan anak anda secara sekeluarga ataupun permainan interaktif lain yang akan meningkatkan kreativiti dan kemahiran fikiran anak anda.
Batu asas ke arah perkembangan
Cara terakhir untuk menggalakkan ekspresi diri adalah menerusi ‘Ekspresi Membina’ yang melibatkan pembinaan objek. Apa sahaja yang memerlukan pembinaan seperti rumah anak patung atau robot dan kereta model adalah baik untuk menggalakkan kemajuan dan kreativiti semulajadi anak anda. Dengan mengikuti arahan cara pemasangan, dia akan belajar dan lebih sedar tentang peranan garis panduan. Ini akan turut membantu anak anda menghasilkan sesuatu menggunakan kreativitinya. Kanak-kanak perlu belajar mematuhi garis panduan, peraturan dan arahan, serta digabungkan dengan kreativiti.
Galakkan anak anda untuk mengekspresi diri!
Anda tidak perlu membeli barang mainan dan bahan seni yang mahal untuk membantu anak anda mengekspresi diri. Permainan papan boleh membantu perkembangan anak anda dan anda boleh membantu meningkatkan kemahiran ini dengan meminta atau memberi komen dan soalan semasa bermain. Cuba rangsang idea-idea kreatif dengan menggalakkan anak anda mencipta cara-cara baru dan berbeza untuk menggunakan barang mainan atau peralatan lain.
Jangan cuba menyekat; pastikan anak anda sentiasa bermain dengan permainan yang selamat. Yang paling penting, buka minda anda untuk idea-idea baru dan asli, serta galakkan anak anda untuk menggunakan kemahiran atau kreativiti mereka! Anak anda akan menggunakan kemahiran yang dipelajari semasa perkembangan zaman awal kanak-kanak mereka untuk menghadapi banyak situasi kehidupan sebenar di masa akan datang.
Oleh Dr M Swamenathan, Pakar Perunding Psikiatri - mypositiveparenting
|
MamaQaireen Shoppe
Search This Blog
Friday, February 3, 2012
Memupuk Kreativiti Dan Ekspresi Diri Dalam Kanak-kanak
Labels:
PERIHAL KANAK2
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
good info...tq mamaqaireen!
ReplyDeleteheheee ^_^
ReplyDelete