MamaQaireen Shoppe

Search This Blog

Tuesday, May 8, 2012

Menikmati Tempoh Hamil Dengan Sihat Dan Gembira


Tahniah! Anda bakal menimang cahayamata. Walaupun anda sibuk menghias bilik bayi dan membelibelah pakaian, peralatan mandi dan barang-barang permainan untuk si manja, jangan lupa tentang diri sendiri. Penjagaan kesihatan dan kesejahteraan anda dan bayi anda mesti menjadi keutamaan sepanjang tempoh hamil.
Di sini terdapat beberapa panduan gaya hidup yang mudah untuk diikuti bagi membantu anda menikmati tempoh hamil dengan sihat dan gembira.

Merokok
  • Jangan merokok. Merokok menyebabkan persekitaran yang tidak sihat kepada bayi walaupun dia belum dilahirkan. Antara kesankesan buruk merokok ialah pengecutan saluran darah yang seterusnya mengurangkan bekalan darah dan oksigen kepada bayi di dalam rahim. Ini meningkatkan risiko keguguran, mati ketika lahir, kelahiran pra matang, berat semasa lahir yang rendah dan palsi serebral.
  • Perokok pasif. Adalah sangat penting bagi wanita yang hamil menjauhkan diri dari asap rokok daripada orang lain. Merokok secara pasif boleh menjadi lebih merbahaya kepada bayi berbanding merokok secara aktif. Bahan kimia dari asap rokok boleh menyerap masuk ke dalam saluran darah si ibu dan disalurkan secara terus kepada bayi. Anda dinasihatkan menjauhi diri dari persekitaran yang berasap rokok.
Alkohol dan Penyalahgunaan Dadah
  • Jangan minum alkohol. Anda perlu memahami bahawa pengambilan alkohol itu sendiri (dan bukan kuantitinya) adalah merbahaya. Alkohol yang diambil semasa hamil boleh menyebabkan kecacatan mental pada bayi. Jadi, jika anda merancang untuk hamil, ini adalah masanya untuk anda berhenti mengambil alkohol.
  • Bebas dari dadah. Secara ringkas, penyalahgunaan dadah semasa hamil boleh menyebabkan keguguran, kerosakan uri, dan kelahiran pramatang. Dadah juga boleh menyebabkan kerencatan pertumbuhan dan kecacatan pada bayi yang bakal dilahirkan.

Ubat-Ubatan
  • Untuk sakit kepala dan lain-lain jenis kesakitanSebelum mengambil sebarang ubat-ubatan, jangan lupa meneliti label untuk mengetahui sebarang kontra-indikasi bagi mereka yang hamil.

    Acetaminophen ialah pengganti bukan aspirin yang selamat digunakan semasa hamil kerana ia tidak menyebabkan apa-apa kecatatan kelahiran. Pengambilan paracetamol dalam dos yang disyorkan juga selamat ketika anda hamil.

    Elakkan dari mengambil Ibuprofen dan NSAIDS.
  • Untuk penyakit yang sedia ada. Jika anda sedang mengambil ubat-ubatan disebabkan kewujudan masalah kesihatan yang sedia, dapatkan nasihat doktor sama ada anda patut meneruskan, berhenti atau bertukar kepada ubat-ubatan lain. Misalnya, penghidap diabetes yang mengambil ubat hipoglisemik untuk mengawal tahap glukosa darah mungkin perlu bertukar kepada suntikan insulin.
  • Untuk batuk & selsemaSelsema tidak membahayakan kesihatan anda atau bayi di dalam kandungan. Dapatkan rehat dengan secukupnya dan minum air dengan banyak. Jika selsema berpanjangan, jumpa doktor anda. Elakkan mengambil ubat-ubatan selsema dan antibiotik tanpa preskripsi. Pastikan anda menghabiskan semua antibiotik tersebut.
  • Untuk mengurangkan berat badan. Jika berat anda berlebihan dan memberi risiko kepada diri dan bayi anda, doktor akan menasihatkan anda tentang tindakan yang perlu diambil. Jangan mengambil apa-apa ubatubatan mengurangkan berat badan semasa hamil. Ini juga bukan masanya untuk menghadkan pengambilan makanan dengan sewenangwenangnya. Anda memerlukan diet
    yang seimbang untuk membekalkan kandungan nutrien-nutrien yang betul.
Senaman
Senaman aerobik yang sederhana adalah baik sekiranya anda tidak mempunyai sebarang komplikasi kesihatan.
  • Langkah permulaan. Jika anda tidak kerap bersenam, mulakan dengan perlahan dan, secara beransur-ansur, tingkatkan kekerapan dan tempoh bersenam pada setiap sesi. Matlamat anda adalah untuk bersenam 3 kali seminggu selama 20 minit setiap sesi. Jangan lupa untuk minum air sebelum, semasa dan selepas bersenam.

    Cara terbaik untuk bersenam bagi mereka yang baru bermula ialah dengan berjalan di permukaan yang rata. Berjalan adalah murah, mudah dan senang. Anda hanya perlu sepasang kasut sukan yang baik. (Lihatlah isu Asuhan Positif yang akan datang untuk panduan bersenam semasa mengandung – Pengarang).
  • Sukan yang perlu dielakkan. Elakkan sukan yang melibatkan risiko anda berlanggar dengan peserta lain atau terjatuh.
Mengembara
  • Dengan kereta. Ramai ibu yang mengandung tidak mahu menggunakan tali pinggang keledar kerana mereka risau tentang risiko kepada bayi yang bakal dilahirkan. Tambahan lagi, tali pinggang keledar boleh menyebabkan sedikit ketidakselesaan.

    Pada hakikatnya, anda harus memakai tali pinggan keledar apabila mengembara di dalam kereta, semasa duduk di depan ataupun di belakang. Pasangkan tali penahan punggung di bawah abdomen dan bersilang dengan peha anda. Ia tidak sepatutnya merentas abdomen anda. Pastikan tali penahan bahu merentas dada, di antara payudara anda.

    Jika anda adalah penumpang, anda dinasihatkan duduk di tempat duduk belakang untuk merendahkan risiko tercedera akibat pelanggaran dari depan dan juga pembukaan beg udara
    keselamatan di dalam situasi-situasi sebegini.
  • Dengan motosikal. Jika boleh jangan mengembara dengan motosikal semasa mengandung. Selain tidak selesa terutama ketika sarat mengandung, motosikal tidak mempunyai tali pinggang keledar atau penahan keselamatan yang lain. Anda juga lebih cenderung untuk mengalami kecederaan kepada diri dan bayi kandungan anda sekiranya terjatuh atau terlanggar.

Keselamatan Sekeliling Rumah
  • Pendedahan kepada bahan toksik. Apabila mengemas rumah, guna sarung tangan dan cuba elakkan dari menyedut bau kimia yang kuat (contoh dari cat rumah dan cecair pelarut). Tiada bukti yang menunjukkan penggunaan alat pencuci rumah secara normal akan menyebabkan kecatatan kelahiran. Walau bagaimanapun, jangan campurkan ammonia dengan produk berasaskan klorin. Kombinasi ini menghasilkan gas yang toksik. Pastikan rumah anda mempunyai peredaran udara yang baik.
  • Membersihkan najis binatang kesayanganCuba jangan bersihkan bekas simpanan najis haiwan peliharaan kerana anda terdedah kepada risiko infeksi mikro organisma yang terdapat dalam najis haiwan peliharaan. Najis kucing, misalnya, mengandungi parasit yang boleh menyebabkan toksoplasmosis, sejenis infeksi darah yang jarang berlaku tetapi amat serius dan boleh menyebabkan kecacatan kelahiran seperti buta, pekak dan kerencatan mental. Jika anda tidak boleh menyerahkan tugas ini kepada orang lain, amalkan langkah berjaga-jaga dengan memakai sarung tangan getah. Jangan lakukan aktiviti berkebun dalam kawasan yang telah dicemar oleh haiwan peliharaan.
Hubungan Kelamin
  • Teruskannya. Kebanyakan keguguran semasa trimester pertama biasanya berpunca daripada kecacatan genetik dan bukannya hubungan kelamin. Jika kehamilan anda normal dan anda tidak mempunyai apa-apa risiko kepada kelahiran pra matang, hubungan kelamin boleh diteruskan sehingga trimester ketiga kehamilan anda.
  • BerhentiPada minggu-minggu terakhir kehamilan anda, hubungan kelamin patut dielakkan kerana risiko infeksi intrauterin dan sekiranya anda mengandung anak kembar. Doktor juga tidak akan membenarkan hubungan kelamin jika anda mengalami pendarahan faraj.

Bergembira Dengan Kehamilan
Panduan-panduan di atas memastikan anda melakukan apa yang boleh untuk mencipta keadaan yang selamat bagi bayi yang bakal dilahirkan. Di samping itu, kekalkan sikap positif dan ceria semasa hamil, kerana bayi boleh merasai emosi anda. Kehamilan adalah sangat unik dan merupakan masa yang istimewa dalam kehidupan wanita, jadi cubalah menikmatinya dengan gembira.
By Professor Dr M.A. Jamil, Obstetrician & Gynaecologist



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...