Mama copy & paste dari susuibu.com :-
Ikuti hasil nukilan Dr Nazatul Shiha Bachtiar, MBBS, MMedSci. dan Kaunselor Laktasi bertajuk Kolostrum: Cecair Bernilai Emas
“Engkau dah beranak nanti, mesti buang susu awal yang basi tu tau, nanti anak kau pula yang sakit”, pesan Halimah kepada anaknya yang bakal melahirkan anak sulung kelak.
“Eh, hari pertama tu kau dah ada susu ke? Aku sampai hari ketiga baru susu keluar. Terpaksalah aku bagi anak aku susu tepung sementara menunggu tu…” keluh Aina pula kepada rakan karibnya Maryam.
“Kenapa ye, hari kedua bayi aku lahir, aku perah susu tu warna kuning? Bukan susu patut warna putih ke? Elok ke bagi kat bayi aku tu?” Soal Lina bertalu – talu kepada Husna. Risau benar dia.
Sesungguhnya, apa yang dibualkan di atas adalah persoalan – persoalan yang sering diajukan oleh ibu – ibu muda. Malah, terdapat pelbagai lagi mitos yang diutarakan mengenai cecair kuning yang pekat dan melekit ini.
Cecair yang dimaksudkan adalah kolostrum atau susu yang dihasilkan oleh seorang ibu pada lingkungan tiga hari pertama selepas kelahiran bayinya. Kolostrum merupakan cecair yang istimewa dan mempunyai pelbagai khasiat penting, khas untuk bayi yang masih lemah dan baru mengenal dunia ini. Ciptaan hebat dari Yang Maha Kuasa ini mempunyai beberapa kandungan tertentu yang amat berharga dan kandungan tersebut tidak terdapat pada susu matang, apatah lagi pada susu formula.
Apakah sifat – sifat cecair yang amat istimewa ini? Kolostrum ini sebenarnya amat kaya dengan antibodi. Terdapat juga banyak sel hidup di dalamnya sehingga digelar “darah putih” oleh sesetengah pakar kanak – kanak. Ia juga bersifat laksatif dan dapat memudahkan pembuangan air besar bayi. Ia juga mengandungi pelbagai Faktor Pertumbuhan (Growth Factor) dan ia amat kaya dengan vitamin A.
Apakah pula kepentingan kolostrum ini? Benarkah pandangan warga dahulu kala yang mengatakan kolostrum ini sebagai susu basi? Tidak sama sekali, malah pelbagai kajian telah dilakukan dan kesemua kajian ini bersetuju bahawa kolostrum dapat memberikan perlindungan maksimum kepada bayi dari sebarang jangkitan. Oleh kerana ia juga bersifat laksatif, ia dapat mempercepatkan proses pembuangan mekonium, yang merupakan di antara faktor utama terjadinya jaundis (demam kuning). Kolostrum yang mengandungi banyak Faktor Pertumbuhan ini juga dapat mematangkan usus dan seterusnya dapat mengurangkan risiko alergi. Ia turut dapat mengurangkan kesan penyakit dan kandungan vitamin A yang tinggi mampu mencegah penyakit mata pada bayi. Ini amat bersesuaian sekali dengan firman Allah yang bermaksud:
"Pada kejadian kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang melata yang bertebaran, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah), bagi kaum yang meyakininya.” (Al-Jathiyah: 4). Begitu juga dengan firman Allah swt dalam surah az-Zariyat ayat 20 dan 21 yang bermaksud, “Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin. Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?”.
Di antara kandungan terpenting kolostrum adalah sejenis protein yang dinamakan Sekretori Immunoglobulin A (SIgA). Immunoglobulin adalah sejenis protein yang berfungsi sebagai antibodi di dalam badan manusia. Ia digunakan di dalam sistem pertahanan tubuh badan (sistem imuniti) untuk mengenalpasti dan meneutralkan objek asing seperti bakteria dan virus. SIgA adalah sejenis antibodi yang terdapat di dalam kolostrum dengan jumlah yang sangat tinggi. Kira – kira 80-90% daripada immunoglobulin di dalam kolostrum dan susu adalah terdiri daripada jenis SIgA. Kepekatannya boleh meningkat setinggi 12g/L di dalam kolostrum dan serendah 1g/L di dalam susu matang. Sebaliknya, disebabkan proses – proses yang perlu dilakukan ke atas, susu formula tiada langsung mengandungi SIgA.
Seorang bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif akan mendapat kira – kira 125mg/kg/hari SIgA pada umur sebulan, dan lebih kurang 75mg/kg/hari ketika berumur 4 bulan. Walaupun kepekatan SIgA di dalam kolostrum menurun dengan drastiknya dalam masa beberapa hari selepas kelahiran, tetapi dalam pada masa yang sama jumlah susu ibu turut meningkat dengan tingginya. Oleh itu jumlah total SIgA adalah hampir kekal sepertimana di awal kelahiran.
Manakala paras SIgA di dalam susu ibu yang melahirkan bayi pramatang adalah lebih tinggi berbanding dengan susu ibu yang melahirkan bayi matang. Bayi pramatang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit – penyakit yang berbahaya seperti Necrotizing Enterocolitis (NEC), sepsis, meningitis dan jangkitan virus. Kandungan antimikrob seperti immunoglobulin yang tinggi di dalam susu pramatang akan membantu untuk melindungi bayi pramatang daripada penyakit – penyakit tersebut.
Para saintis sudah membuktikan bahawa antibodi jenis SIgA dapat melawan pelbagai jenis bakteria, terutamanya bakteria yang berasal dari sistem usus bayi. SIgA adalah sejenis antibodi yang stabil dan berdaya tahan terhadap enzim proteolitik (enzim pemecah protein) di dalam perut, berbanding dengan antibodi jenis lain. Ketika bayi sedang menyusu, antibodi yang terdapat di dalam susu ibu ini akan bergerak masuk ke dalam saluran perut dan usus. Di dalam perjalanan itu, ia akan bergabung dengan mikrob – mikrob yang terdapat pada membran mukosa (sejenis lapisan yang melapisi sistem usus). Dengan itu, ia dapat menghalang mikrob daripada melekat pada sel – sel usus. Proses pelekatan mikrob pada sel usus merupakan langkah pertama untuk berlakunya sebarang jangkitan kepada bayi. Dengan itu, SIgA berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan bayi yang utama untuk melawan jangkitan usus. Maha Suci Allah, ciptaanNya amat hebat dan tidak mampu disaingi oleh mana – mana ciptaan manusia. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Firman Allah yang bermaksud:
"Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya." (Al-A'la : 2)
Kajian – kajian klinikal telah menunjukkan bahawa SIgA yang terdapat di dalam susu ibu mampu untuk melawan kuman seperti Vibrio cholerae (kuman untuk penyakit taun), enterotoksigenik E. coli, Campylobacter, Shigella dan Giardia lamblia. Kuman – kuman tersebut biasanya yang menyebabkan keracunan makanan pada manusia. SIgA mampu melindungi bayi daripada serangan cirit – birit yang disebabkan oleh kuman – kuman tersebut. Begitulah istimewanya SIgA yang hanya terdapat di dalam susu ibu.
Tidak dinafikan juga, susu ibu terutamanya kolostrum merupakan immunisasi pertama & terpenting bagi setiap bayi. Ketika bayi masih di dalam rahim ibu, dunia bayi adalah dunia yang selamat, bersih dan tidak tercemar oleh sebarang kuman mahupun jangkitan. Ini kerana rahim ibu memberikan perlindungan sepenuhnya kepada bayi yang masih lemah. Rahim ibu bolehlah dianggap sebagai kawasan vakum yang tidak boleh dilolos oleh sebarang kekotoran. Namun, sebaik sahaja bayi dilahirkan, dunia kecilnya yang selamat itu telah bertukar menjadi sebuah dunia yang amat luas dan penuh dengan pancaroba kuman dan jangkitan.
Allah swt itu Maha Kaya dan Maha Pencipta. Dicipta-Nya kolostrum (susu awal ibu) dengan hikmahnya yang tersendiri. Kolostrum merupakan sumber pertahanan yang terpenting bagi bayi yang baru lahir. Ia mengandungi antibodi dan sel – sel hidup yang mampu menyelamatkan bayi sebelum diberikan imunisasi formal (BCG, DPT, vaksin polio dan lain – lain). Inilah merupakan satu contoh sumber bukan nutrisi yang hanya terdapat di dalam susu ibu. Benarlah firman Allah swt yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”. (surah at-tin: 4)
Fisiologi jumlah isipadu kolostrum
Jumlah total kolostrum pada 24 jam pertama selepas lahir adalah sedikit (dipetik dari Riordan, 2005), tetapi sebenarnya jumlah ini sudah mencukupi untuk bayi itu. Secara puratanya hanya 37 ml kolostrum dihasilkan dalam satu hari (24 jam), dengan julat dari 7 hingga 123 ml, bergantung kepada penghasilan pada seseorang ibu tersebut. Jumlah ini semakin bertambah secara beransur – ansur dalam 36 jam pertama dan ia akan bertambah secara mendadak dalam 49 – 96 jam berikutnya. Pada hari kelima – jumlah isipadu total akan mencapai 500 ml / sehari. Jumlah ini seterusnya semakin meningkat ke 750 ml / sehari dalam selang masa 3 hingga 5 bulan penyusuan secara eksklusif. Apabila bayi mencapai umur 6 bulan, purata pengambilan susu adalah 800 ml / sehari.
Berdasarkan jumlah kolostrum pada 3 hari pertama kelahiran, ramai ibu merasa risau dan berpendapat bahawa susunya tidak mencukupi untuk bayi itu. Tidak ramai yang mengetahui bahawa jumlah yang sedikit (37 ml) itulah sebenarnya yang hanya diperlukan oleh bayi. Itulah sejumlah yang kecil untuk keperluan dan saiz perut yang kecil. Sesungguhnya persoalan susu tidak cukup pada hari – hari pertama kelahiran adalah tidak wajar diutarakan. Jika ibu itu mengharapkan susunya mengalir mencurah – curah sehingga 500ml pada hari pertama, memanglah mustahil. Ini kerana bayi yang masih kecil itu tidak memerlukan jumlah susu yang banyak pada mulanya. Indah sungguh ciptaan Mu ya Allah. Kau jadikan sesuatu itu cukup berdasarkan keperluannya. Tidak lebih dan tidak kurang. Mengapa masih ramai yang ragu dengan ciptaan-Mu yang satu ini? Sedangkan Kau juga telah berfirman yang maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (surah Luqman: 14).
Maka yakinlah, jika seseorang ibu itu mampu mengandung dan melahirkan anaknya, maka mengapa pula dia tidak mampu menyusukan anak itu dengan susunya sendiri?
Antara tips – tips yang penting untuk memastikan bayi mendapat kolostrum dengan secukupnya pada hari – hari awal kelahiran adalah dengan meletakkan bayi kepada ibu dengan sentuhan kulit ke kulit sebaik sahaja bayi dilahirkan. Seterusnya, usahakan agar bayi dapat menyusu dengan baik dan melekap dengan betul di payudara. Ini penting agar proses stimulasi dapat berlaku dengan lancar di samping dapat mengeluarkan kolostrum dari payudara dengan efektif. Jika ibu tidak mahir, maka segera dapatkan bantuan dari doktor, bidan ataupun jururawat yang bertugas. Antara tips – tips lain yang tidak kurang pentingnya adalah, sentiasa susukan bayi pada bila – bila masa sahaja yang dia mahu. Biarkan bayi bersama ibu sepanjang masa (‘rooming in’) dan elakkan dari bayi dibiarkan di bilik bayi atau ‘nursery’ ketika berada di hospital. ‘Rooming in’ amat penting agar ibu sentiasa memantau keadaan bayi dan segera menyusukannya bila bayi menunjukkan tanda – tanda ingin menyusu. Ia juga penting untuk mengelakkan kes jangkitan silang (‘cross infection’) yang mungkin berlaku kepada jika bayi ditinggalkan di bilik bayi. Susukan bayi dengan susu ibu sahaja dan elakkan pemberian air lain seperti air kosong, air teh, air glukos mahupun susu formula. Dengan itu, bayi akan mendapat kebaikan susu ibu sepenuhnya tanpa dicemari oleh alternatif lain.
Sewajarnya setiap ibu haruslah memberikan bayi mereka kolostrum yang sangat berkhasiat itu demi kesihatan dan pertumbuhan bayi yang tercinta. Sesungguhnya kasih ibu sentiasa padu dan salah satu caranya untuk membuktikan kasih itu adalah dengan memberikan nutrisi yang terbaik untuk anak – anak. Dan sesungguhnya, tiada nutrisi lain yang sebaik dan seistimewa susu ibu. Hapuskanlah kerisauan mengenai mitos – mitos yang menyelubungi kolostrum ini kerana sesungguhnya setiap ciptaan yang Allah jadikan itu adalah yang sebaiknya untuk umat manusia.
Rujukan:
1. Lars A. Hanson. Immunobiology of Human Milk: How Breastfeeding Protects Babies. Texas: Pharmasoft Publishing, 2004.
2. Riordan J. Breastfeeding and human lactation. Massachusetts: Jones & Bartlett Publishers, 2005.
3. Lawrence RA, Lawrence RM. Breastfeeding: A Guide for the Medical Profession. 6th edition. St Louis, MO: Mosby, 2005.
Oleh:
Dr Nazatul Shiha Bachtiar, MBBS, MMedSci
No comments:
Post a Comment