MamaQaireen Shoppe

Search This Blog

Saturday, June 18, 2011

PENYUSUAN KETIKA HAMIL



Seperti yang kita sedia maklum, kehamilan merupakan suatu tempoh yang mencabar. Sama halnya dengan penyusuan susu ibu. Apabila disatukan, ia bertambah mencabar. Mungkin itulah faktor yang menjadi punca mengapa ramai orang yang tidak mempunyai pengalaman luas tentang penyusuan susu ibu menggalakkan wanita yang menyusukan anak agar bercerai susu dengan si kecil apabila hamil lagi.
Atas sebab yang sama, kebanyakan wanita bimbang untuk menyusukan anak dan mengalami dilema dengan pelbagai alasan diberikan. Antaranya, bimbang risiko keguguran atau kelahiran pra matang kerana kontraksi yang mungkin terjadi mahupun khuatir diri, anak dan bayi dalam kandungan tidak memperoleh khasiat mencukupi.
Cuba renungkan sejenak. Jika kehamilan anda tidak menghadapi apa-apa masalah selepas hubungan intim dilakukan, maka adalah selamat untuk anda terus menyusukan anak biarpun kini hamil. Maka dengan itu, anda harus yakin bahawa penyusuan susu ibu ketika hamil sememangnya selamat dan tidak akan menjejaskan anda, anak mahupun bayi yang dikandung. Faktanya, kebanyakan para ibu negara di dunia mempraktikkan amalan terus menyusukan anak biarpun sedang menghamilkan anak seterusnya.
Mengukuhkan lagi fakta bahawa penyusuan sewaktu hamil adalah selamat, anda boleh merujuk kepada maklumat yang terkandung di dalam The Breastfeeding Answer Book. Dijelaskan bahawa sehingga kini tiada bukti yang didokumentasikan tentang  bahaya penyusuan susu ibu terhadap bayi dalam kandungan mahu pun ibu hamil itu sendiri. Antara lain, kajian Moscone dan Moore iaitu Breastfeeding During Pregnancy dalam Journal of Human Lactation (1993) mendapati kehamilan tidak menjadi penyebab kepada apa-apa pun komplikasi dalam kehamilan.
Seharusnya, penyusuan susu ibu sewaktu hamil menjadi masa yang mengasyikkan untuk anda dan si anak. Oleh kerana itulah, kebanyakan wanita mendapati penyusuan susu ibu di ketika ini adalah satu anugerah yang ajaib. Bagi anda yang berkeazaman tinggi untuk meneruskan penyusuan sepanjang tempoh kehamilan, fakta berikut dapat membantu anda menjayakan niat murni ini.
1. Zat makanan bayi terjaga
Tubuh anda bijak kerana sangat mengutamakan bayi dalam kandungan dengan mengenepikan dan menyalurkan zat makanan mengikut keperluannya. Jadi, tidak timbul isu bayi tidak cukup zat. Pada masa yang sama, anda dan si anak turut memperoleh cukup zat. Namun, apa yang lebih penting ialah anda benar-benar menjaga corak pemakanan seharian dengan mengambil makanan yang seimbang dan sihat.

2. Tidak mudaratkan anak
Hormon yang mengekalkan kandungan didapati hadir dalam susu ibu dalam kuantiti yang sangat sedikit. Oleh kerana itu, ia tidak sesekali membahayakan anak anda. Namun, di peringkat akhir kehamilan, bekalan susu akan mula menyusut sedikit demi sedikit. Jadi, dapatkan nasihat doktor pakar kanak-kanak agar pertambahan berat badan anak anda adalah normal sejajar dengan peningkatan usianya.

3. Bercerai susu sendiri
Isipadu dan kandungan susu ibu akan berubah sepanjang tempoh kehamilan. Paras sodium dan protein meningkat manakala laktosa dan glukosa menurun. Oleh yang demikian, ia menjadikan rasa dan rupa susu ibu seakan-akan kolostrum. Ada sesetengah anak boleh menerima perubahan ini. Namun, ada juga yang mula kurang berminat untuk menyusu susu ibu dan akhirnya mengambil keputusan untuk bercerai susu tanpa paksaan.

4. Rangsangan puting
Terdapat kajian membuktikan rangsangan mekanikal ke atas puting payu dara mampu memulakan proses pelahiran jika ia dilakukan di dalam trimester ketiga. Namun, rangsangan semula jadi ketika sesi penyusuan susu ibu dan hubungan intim tidak mempunyai kesan yang sama seperti rangsangan mekanikal yang dikaji. Walau bagaimanapun, bagi anda yang mempunyai  sejarah melahirkan bayi pramatang atau pernah keguguran, anda dinasihatkan untuk bercerai susu lebih awal.

5. Sakit puting
Sewaktu hamil, payu dara membengkak dan puting mudah sakit. Apabila menyusukan anak, ia akan menjadi lebih perit. Menurut kajian, wanita menyatakan rasa paling sakit yang dialami adalah sepanjangan 15 saat pertama sesi penyusuan, namun lama-kelamaan rasa sakit itu semakin beransur hilang. Bagi mengatasi ketidakselesaan ini, anda digalakkan untuk mencuba pelbagai jenis posisi bersesuaian dan mengaplikasikan teknik pernafasan yang efektif. Ketahuilah, sakit yang dialami akan berkurangan selepas trimester pertama apabila puting menjadi kurang sensitif.

6. Pemakanan sihat
Wanita hamil perlu mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang. Jadi, makan secara teratur, minum banyak air, kurangkan tekanan dan banyakkan rehat. Apabila menyusukan anak, anda perlu memastikan diri dapat mengekalkan amalan pemakanan sihat, berkhasiat dan pelbagai dalam menu seharian. Jika perlu, pertimbangkanlah untuk mengambil suplemen tambahan.

7. Kalori tambahan
Satu cabaran yang bakal anda tempuhi ialah susu ibu semakin berkurangan. Memastikan bekalan susu ibu cukup untuk keperluan anak bukannya sesuatu yang sukar asalkan anda mengambil kalori tambahan yang mencukupi. Sasarkan untuk mengambil 500 hingga 800 tambahan kalori, 4 hidangan protein dan 6 hidangan kalsium setiap hari. Jangan lupa, anda perlu fokus untuk minum 8 gelas air juga.


Panduan
1. Diri semakin kurang selesa sewaktu menyusu apabila saiz kandungan semakin besar. Jadi, susukan anak sambil mengiring selain meletakkan sebiji bantal pada bahagian belakang badan agar kekal selesa.

2. Setiap kali sesi penyusuan, rasa tidak selesa pada bahagian puting biasa dialami. Alihkan perhatian terhadap
rasa sakit dengan melakukan perkara lain ketika menyusukan seperti sambil membaca majalah atau menonton televisyen.

3. Berikutan susu perahan yang semakin berkurangan, anak yang ditinggalkan di rumah pengasuh dibekalkan dengan
makanan lain (bukan susu formula). Namun, penyusuan tetap diteruskan apabila pulang dari tempat kerja.

4. Menanam azam untuk menjayakan tandem nursing selepas melahirkan agar dapat mengurangkan risiko bengkak susu di mana anak yang lebih besar mempunyai kemahiran mengosongkan payu dara dengan efisyen.
5. Komposisi susu ibu hamil mengandungi lebih sodium sehingga menjadikannya sedikit masin. Jadi, anak mudah dahaga walaupun selepas menyusu. Untuk itu, berikan air kosong kepada selepas menyusukan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...