
MENYUSU badan kini sudah kembali sebagai trend malah, ramai ibu muda  pada masa kini tanpa mengeluh tetap akan mencari sudut privasi bagi  menyusukan anak walaupun di pusat beli-belah, kedai makan mahupun dalam  majlis keramaian.
Jika tidak diberi menyusu terus dari  payu dara, lambakan jenama dan  jenis pam susu badan manual mahupun elektrik menjadikan wanita yang  berkerjaya juga mampu memberikan susu badan secara eksklusif kepada bayi  mereka.
Menyusukan anak secara eksklusif bermakna bayi disusukan dengan susu  ibu sahaja tanpa diberi air masak, susu formula atau makanan tambahan  lain selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun.
Justeru itu, pemilihan pam susu yang bersesuaian perlu  dititikberatkan untuk mengelakkan proses mengeluaran susu tidak  terganggu akibat kejutan terutama dari segi sedutan.
Menurut Kaunselor Laktasi dan Pengarah Urusan Sarakids, Nor Farah  Farhan Abdul Fattah, pemilihan pam yang bergred hospital amat penting  kerana ia lebih selesa digunakan, mengikut sedutan seperti mulut bayi  selain tidak menyakitkan.
Menceritakan lebih lanjut, wanita yang mesra disapa Farah, 30,  mencadangkan supaya ibu-ibu yang bekerja membuat kaji selidik menerusi  Internet, rakan-rakan yang berpengalaman ataupun berjumpa dengan pakar  laktasi sebelum membeli gajet tersebut.
Katanya, sekiranya tersilap memilih kerana mahu yang murah, mungkin  pam tersebut tidak bergred hospital sekali gus membantutkan proses  pemerahan susu apabila payu dara ibu berasa sakit dan tidak selesa.
“Pemilihan pam yang betul sangatlah penting kerana ciri-ciri pam yang  sepatutnya dipilih adalah sedutan yang menyerupai hisapan mulut bayi,”  jelasnya.
Tambahnya, bagi ibu yang bekerja, lebih mudah sekiranya mereka  memilih pam berganda (double-pumping) kerana ia amat menjimatkan masa,  iaitu mereka boleh memerah susu pada kedua-dua belah payu dara secara  serentak untuk tempoh 20 hingga 30 minit.
Kelengkapan pam

Selain pemilihan pam susu, ibu juga sudah boleh mula mencari produk  penyusuan susu ibu di pasaran seperti beg penyejuk, gel ais dan beg yang  bersesuaian untuk memudahkan ibu semasa hendak mula bekerja nanti.
Kata Farah, susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk dua pintu (pintu  atas) selama tiga bulan, peti sejuk satu pintu selama dua minggu dan  peti sejuk beku selama enam bulan. 
Bagi wanita yang bekerja, memang diakui, pada mulanya pasti ramai  yang agak malu untuk melakukan proses mengepam di tempat kerja yang  sudah tentu menarik mata nakal rakan lelaki yang memandang.
“Sebenarnya mudah sahaja untuk mengepam di pejabat, yang paling  penting pemilihan baju serta pakaian dalam yang mudah untuk diselak  untuk mencekup corong pam susu dengan mudah.
“Selain itu, pemilihan pam elektrik yang kurang mengeluarkan bunyi,  malah boleh juga ditempatkan motor pam itu di dalam beg khas untuk  mengurangkan gegaran dan juga bunyi pam,” katanya yang turut mereka pam  elektrik jenama sendiri, Modu hasil kerjasama dengan Insan iaitu sebuah  syarikat di Korea.
Kelebihan susu badan
Bagi ibu yang meninggalkan anak di rumah pengasuh, oleh kerana  kebanyakan pengasuh sudah terbiasa memberikan susu formula kepada bayi  di bawah jagaan mereka, ia menyebabkan kemungkinan bekalan susu perahan  yang disediakan tidak mencukupi selama di rumah pengasuh. 
Ini kerana ramai  yang keliru mengenai kuantiti susu  diperlukan oleh bayi yang membesar dari bulan ke bulan.
Ia menyebabkan ramai ibu berada dalam dilema sama ada terus memberi anak susu badan apabila si kecil di bawah jagaan pengasuh.
Nasihat Farah, konsep permintaan dan pembekalan perlu difahami ibu   supaya mereka tidak tersalah anggap dengan kebolehan badan menghasilkan  susu untuk anak-anak. 
“Sebenarnya ramai ibu yang tidak tahu bahawa pengambilan susu perahan  oleh bayi dari umur satu bulan hingga 6 bulan adalah sama dan tidak  berubah. Ia adalah lebih kurang tiga auns sekali minum dengan empat  hingga lima kali dalam tempoh ibu bekerja.
“Diakui pada awalnya, bayi akan merengek dan memberi isyarat seperti  mahu menghisap susu lagi, namun ibu boleh melatih pengasuh untuk  mendukung, bermain dan memberi lebih perhatian kepada bayi.
“Ini kerana kebiasaannya ramai yang  beranggapan susu badan harus  ditambah untuk bayi  seiring dengan peningkatan usia sehingga 6 bulan. 
“Bagaimanapun, pendapat itu mungkin hanya sesuai untuk  susu formula sebagaimana yang tercatat pada label pada tin. 
“Keunikan susu ibu adalah apabila Allah telah pun menetapkan  khasiatnya mengikut keperluan umur,” jelasnya sambil menerangkan  bayi  sememangnya mempunyai naluri menghisap namun, keadaan ini bukanlah  bermakna bayi tidak cukup susu.

SUSU badan yang dipam boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh bertahan antara tiga hingga enam bulan. 
Pengalaman sendiri
Berkongsi pengalaman  sebagai wanita yang bergelar ibu, Farah juga  menginginkan yang terbaik buat tiga orang buah hatinya, Puteri Sara  Azalea, 4, Puteri Syasya Adalea, 3, dan Putera Shafik Adrian, 4 bulan. 
Isteri kepada seorang jurutera, Saiful Azwan Rasidi itu sedar perkara  asas yang terbaik untuk anak-anaknya sejurus selepas dilahirkan adalah  dengan memberi susu ibu secara eksklusif.
Lulusan bidang Mikrobiologi dari Universiti Teknologi Mara itu  sanggup meninggalkan jawatan sebagai pensyarah di salah sebuah institusi  pengajian tinggi swasta selepas dia melahirkan anak sulungnya.
“Saya akui dulu semasa anak sulung, saya kurang pengalaman dan  persediaan. Malah, ketika anak saya berumur 8 bulan, saya diberikan  rezeki untuk mengandungkan anak kedua pula, ketika itulah saya berhenti  memberi susu badan kepada anak sulung kerana mendengar cakap orang yang  lebih tua.
“Ada yang kata tidak elok untuk kesihatan bayi yang dikandung kerana  bimbang, khasiat makanan ibu yang sepatutnya diambil bayi dalam  kandungan, ‘dicuri’ anak yang sedang menyusu,” katanya yang berjaya  melengkapkan kursus penyusuan yang melayakkannya bergelar kaunselor  laktasi dari Pusat Perubatan Universiti Malayia (PPUM).
Enggan mengulangi kesilapan pertama, Farah memilih menyusu secara eksklusif bagi anak kedua dan ketiganya.
“Ia adalah nikmat tak ternilai bagi seorang ibu, malah sokongan  daripada orang tersayang iaitu suami amat saya hargai,” katanya yang  ternyata puas kerana dapat menyusukan anak-anaknya tanpa susu formula. 
Dengan kesedaran yang ada, Farah bertekad  menubuhkan sebuah pusat  sehenti bagi barangan bayi dan  gajet lengkap untuk penyusuan susu ibu  yang diberi nama Sarakids.
Sarakids kini mempunyai lima cawangan utama seluruh negara dan turut melebarkan sayapnya ke Brunei, Singapura dan Korea.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sarakids, boleh ke laman web  www.sarakids.com atau ke kedai di alamat 42-1, First Floor, Jalan Opera L  U2/L, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor. 
 
 
 

No comments:
Post a Comment